KUALA LUMPUR 16 Julai – Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) dilancarkan secara rasminya pada hari ini, menandakan perkembangan penting bagi industri PR di Malaysia.
Persatuan itu dipimpin sekumpulan veteran industri yang berpengalaman luas bagi meningkatkan profesion itu dengan memupuk amalan etika, perkongsian pengetahuan, dan pembangunan profesional berterusan.
Seramai lebih 150 pengamal perhubungan awam menyertai persatuan itu yang mana Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan menyifatkan sambutan itu menunjukkan terdapat keperluan untuk pengamal perhubungan awam mempunyai sebuah badan profesional.
Menurut PRactitioners, objektif utama penubuhannya termasuk mempromosikan etika, memupuk pembangunan profesional, menyuarakan kepentingan PR, menyediakan peluang rangkaian, dan menyokong penyelidikan dalam bidang ini.
Sementara itu, Sekretariat Hari Perhubungan Awam Sedunia (WPRD) mengalu-alukan persatuan itu sebagai rakan kongsi rasmi untuk Perayaan WPRD.
PRactitioners berkata, kerjasama itu akan menyediakan platform global untuk penampilan sulung PRactitioners.
Pada masa yang sama, PRactitioners telah menubuhkan biro-biro khusus untuk menangani keperluan industri termasuk Biro Akademik, Editorial, dan Komunikasi Digital.
Penubuhan biro-biro wilayah pula akan memastikan perwakilan menyeluruh di seluruh negara serta menjaga hubungan dengan diaspora PR Malaysia di Eropah.
PRactitioners juga memperkenalkan mentor dan penasihat, termasuk Puan Sri Siew Yong Gnanalingam, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Rocky Bru, Datuk Borhanuddin Osman, K Haridas, Prof. Dr. Said Bani C.M. Din, Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, dan Raja Singam.
“Mereka akan memberikan panduan yang berharga kepada ahli, memupuk pembelajaran, pertumbuhan, dan kerjasama dalam komuniti PR,” tambah persatuan itu.
Sementara itu, Kamalanathan berkata, persatuan itu terdiri daripada pegamal perhubungan awam profesional di Malaysia.
“Bersama-sama, kita boleh membina industri PR yang lebih kuat, lebih dihormati, dan lebih berkesan untuk mendorong kejayaan perniagaan dan kemajuan sosial,”ujar beliau.
Acara pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa sambutan Hari Perhubungan Awam Sedunia hari ini.